PILIHLAH YANG HALALAN TOYYIBAN DALAM KEHIDUPAN

HALAL BUKAN PADA MAKANAN SAHAJA…TETAPI SEMUA ASPEK KEHIDUPAN.

Archive for the ‘Uncategorized’ Category

Sotong Kering Sedap Tapi Bahaya?

Posted by go4halal on 12/03/2010

Jika saya yang katakan sotong kering ni bahaya dan mengandungi logam berat mesti ramai yang kata saya ialah seorang penyebar fitnah.  Jom kita tengok penemuan CAP dalam artikel ni:

GEORGETOWN : Ramai mengetahui keenakan sotong kering ditambah lagi jika dimasak sebagai sambal.  Namun Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan, tidak mungkin ramai pengguna sedar bahawa sotong kering kaya dengan logam toksik jenis kadmium, bahan yang sama digunakan dalam membuat bateri, plastik dan baja fosfat.

“Kesan pengambilan kadmium mendedahkan seseorang terhadap kanser payu dara, kanser prostat serta penyakit buah pinggang,” kata Presidennya, S. M.
Mohamed Idris pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya, selain sotong kering, makanan laut kering lain seperti tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium tetapi pada kadar yang lebih
rendah.

“Hasil ujian yang dilakukan mendapati kandungan kadmium dalam sotong kering melebihi empat kali ganda had yang dibenarkan,” ujarnya.

CAP membuktikan perkara itu melalui ujian rawak melibatkan enam sampel sotong kering dan hasilnya mendapati lima sampel mengandungi kadmium serta
tiga daripadanya mempunyai kandungan logam itu secara berlebihan.

Hati-hatilah memilih makanan. Pastikan Halalan Toyyiban..insyallah selamat dunia dan akhirat. Wallahualam.

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

SEBAB HERBA TIDAK BERKESAN

Posted by go4halal on 08/03/2010

Mungkin ada sesetangah daripada kita yang mengambil herba bertanyakan soalan ini samaada dalam diri,kepada teman dan keluarga. Usah risau, berjumpalah dengan herbalis anda, pasti anda akan dapat jawapan bagi persoalan anda. Bagi anda yang baru mengambil herba sebaik-baiknya anda berjumpa dengan herbalis untuk mendapatkan cadangan, rundingan, kaedah pengambilan herba yang betul supaya herba yang diambil berkesan malah tidak memudaratkan diri anda. Seperti juga kita berjumpa doktor, untuk mengetahui kaedah pengambilan ubat dalam kuantiti yang betul dan masa yang tepat serta mengikut peraturannya.

Seorang herbalis terlebih dahulu perlu tahu tentang karakter pesakit semasa mencadangkan ubat yang diambil supaya proses penyembuhan dan konsultasi berlaku dengan baik. Langkah ini penting kerana dari segi psikologinya,setiap manusia akan memberikan respon yang baik jika dia merasa selesa dengan perawatnya.

SEBAB-SEBAB HERBA TIDAK BERKESAN MASALAH “MIND SET”
Percaya atau tidak kita sudah diprogramkan untuk mempercayai keajaiban ubatan kimia yang memberikan kesembuhan yang cepat. Ubatan herba tidak lagi mendapat tempat setelah kehebatan ubatan kimia yang sinonim dengan panggilan ubatan moden dan herba dikenali sebagai ubatan tradisional telah membantu melonjakkan lagi kepercayaan terhadap ubatan ini. Jadi masih ramai diantara kita yang mempunyai perasaan ragu-ragu dan seolah-oleh terpaksa apabila disyorkan ubatan ini. Maka secara automatik ubat herba yang diambil tidak berkesan apabila otak kita telah setkan bahawa ubat herba ini tidak dapat mengubati penyakit kita.

TEKANAN ATAU STRESS
Tahukah anda jika anda stress atau tertekan, anda telah memusnahkan vitamin C yang ada dalam badan anda,kerana itulah orang yang stress akan kelihatan cepat tua. Bukan itu sahaja herba tidak dapat bertindak balas dengan baik kerana wujudnya tekanan-tekanan dalam diri. Kelenjar Adrinalin dalam tubuh akan mengeluarkan hormon kortisol yang akan meningkatkan tekanan darah dan kadar gula dalam darah dan menurunkan tindak balas imuniti(pertahanan)badan. Akibatnya berlaku malabsorption (tiada penyerapan) terhadap nutrien yang masuk ke dalam tubuh. Jadi sebarang herba yang masuk tidak dapat bertindak balas untuk memberikan manafaat kepada kita.

PENGAMBILAN AIR YANG TIDAK MENCUKUPI
Herba gagal berfungsi tanpa air yang mencukupi dalam badan. Air seperti pelincir kepada badan kita. Ramai juga beranggapan pengambilan air mereka mencukupi kerana telah meminum air kopi radix,air kordial Rossele atau apa-apa air yang lain dalam kuantiti yang banyak sepanjang hari,sedangkan tubuh kita lebih banyak memerlukan air putih untuk membantu pergerakan nutrien dalam badan,pengawalan suhu badan,pencernaan dan semua aktiviti badan.

Kenyataan ini bukan bermakna anda perlu mengurangkan pengambilan air kegemaran anda, tetapi anda perlu tahu bahawa air berwarna atau bercampur bahan lain seperti kopi atau apa saja akan diproses seperti makanan pepejal yang kita ambil contohnya nasi, mee, roti dan sebagainya. Pengambil herba perlu mengambil sekurang-kurangnya 2 liter untuk perempuan dan 2.5 liter untuk lelaki dalam sehari. Bagi pengambilan herba diuretic(mengaktifkan buah pinggang untuk pengeluaran air kencing) keperluan air putih sangat perlu dititik beratkan. Keperluan ini semakin penting dengan berlaku peningkatan suhu dunia yang semakin panas.

PENGAMBILAN YANG TIDAK BERTERUSAN
Seperti yang anda semua sedia maklum,herba bertindak balas agak lambat berbanding ubatan kimia. Proses pemulihan juga berlaku dengan lambat dan berperingkat. Kerana setiap penyakitan yang berlaku dalam badan kita juga terbentuk daripada satu proses yang lama contohnya sakit asthma,penyakit ini bermula dengan peradangan paru-paru hingga menghasilkan mucus yang banyak,pengecutan brokiol akhirnya mengganggu pernafasan hingga mencetuskan penyakit ini. Ia terbentuk dalam satu tempoh masa yang lama,jadi secara logiknya sistem penyembuhan juga mengambil masa yang lama. Inilah keistimewaan herba yang akan memulihkan hingga kepada punca penyakit bukan kepada simptomnya. Jadi, kesabaran dan istiqamah adalah sangat perlu bagi pengambil herba.

PENGIKATAN DAN PEMBUANGAN
Ini merujuk kepada kaedah pengambilan herba yang salah ataupun pengambilan herba bersama ubat-ubatan lain boleh membentuk ikatan kimia yang tidak dapat diuraikan dan terus disingkirkan oleh tubuh. Perlu diingat bahawa herba mempunyai dinding solulose yang menyimpan khasiat herba,jadi untuk menguraikannya perlu melalui proses sinergi,rebusan dan lain-lain. Di dalam Perubatan Jawi kita memberikan teknik-teknik untuk untuk menggunakan herba dengan lebih berkesan,kerana itulah sangat penting bagi pengamal herba untuk mengetahui cara pengunaan herba yang betul. Contohnya, pengambilan shark cartilage tidak boleh diambil dengan herba yang lain kerana herba ini bersifat fat bonding dan akan menyingkirkan racun yang masuk ke badan termasuk herba yang masuk bersama.

DOS YANG TIDAK MENCUKUPI
Dos yang mencukupi akan memberikan isyarat kepada badan seperti peningkatan suhu badan dan sengal-sengal tubuh. Ini menunjukkan tindakbalas herba yang mencukupi dengan keperluan tubuh. Jika dos yang diambil tidak mencukupi,ia tidak
akan memberi kesan kepada tubuh. Ukuran dos untuk pengambilan herba adalah berdasarkan berat badan 10kg bersamaan 1 gram herba (mengikut herba yang diambil).

MEROKOK
Merokok adalah penghalang kepada keberkesanan herba di dalam badan anda. Herba tidak dapat memulihkan diri pesakit andai racun terus ‘dimasukkan’ke dalam badan. Bayangkan asap rokok sahaja mengandungi lebih 4000 jenis bahan kimia yang sangat merbahaya baik kepada perokok,mahupun penghidu(perokok pasif).

Sumber: Herbalis-Jawi.blogspot.com

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Cepat pergi daftar HAJI

Posted by go4halal on 05/03/2010

Tadi aku ke Tabung Haji, Anjung Putrajaya. Pelanggan agak ramai hari ini. Sampai ke simpang Anjung, aku berdoa …”adalah tempat parking” … aku menunggu dalam 10 minit kot2 ada yang hendak keluar…alhamdulillah aku terlihat kelibat 2 wanita berbaju kurung berjalan beriringan menuju kesebuah kereta kancil yang betul-betul terletak sebelah kereta aku yang sedang menunggu..aku menarik nafas lega…alhamdulillah rezeki. Aku bergerak ke hadapan kerana ingin masuk secara berundur ke parking tersebut. Nanti nak keluar senang…aku berkira-kira dalam hati.

Sebaik kereta itu keluar sebuah kereta datang dari belakang dan memberi signal untuk masuk ke parking walaupun dia tahu aku datang dulu dan aku juga telah bagi signal untuk masuk ke petak yang sama. Aku jadi keliru, sebaik kereta tu beredar, dia terus masuk ke parking yang sepatutnya aku yang masuk.

Alamak…takda rezeki…takpalah, boleh tunggu yang lain. Aku tak jadi mengundur sebaliknya terus memandu ke depan walaupun aku tau didepan pun tiada parking kosong…ada 3 biji kereta yang juga sedang menunggu parking dikosongkan. Aku memusingkan kereta…dan pandu perlahan sambil mengharap “cepatlah sikit orang keluar dari Anjung tu”, perasaan bosan menunggu dah mula merayap dari benak ke hati.

Alhamdulillah aku terpandang lagi kelibat orang keluar dari pintu kaca Anjung berjalan meleret-leret dan singgah sekali lagi disebelah kereta aku…oh rezeki. Alhamdulillah kali ini betul2 aku punya rezeki…aku tak berani nak beraksi seperti tadi … takut melepas sekali lagi..aku cepat2 membelok dan parking..cantik! betul2 ditengah petak..aku puas hati dan keluar kereta. Cing..kereta telah dikunci.

Kebetulan kereta yang mencuri tempat aku tadi betul-betul dibelakang kereta aku. Anehnya dah parking tu keluar je lah…apa ke dibuatnya lama sangat? Aku terus tertanya2. Dengan perasaan bz body aku sengaja lalu berhampiran kereta tu untuk menjeling2 ke dalam kereta apa di buat agaknya…

Oh…kesian dia OKU rupanya. Bersusah payah dia mengeluarkan kerusi roda, kemudian dia berusaha keluar dari kereta dan naik ke kerusi roda…bukan aku tak mahu tolong…aku juga bukan along…tapi aku yakin dia boleh buat sendiri dan tidak suka mengharapkan bantuan orang lain. Kalau dia perempuan akan ku sorong ‘wheel chair’nya, tetapi dia adalah lelaki.

Aku terus berjalan ke Tabung Haji membawa hasrat untuk mendaftar semula untuk mengerjakan haji buat kali kedua pula. Aku mengambil nombor dan menunggu giliran…ting tong ‘098 kaunter 4’. Ha..nombor aku tu, cepat-cepat aku berjalan ke kaunter.

Assalamualaikum, sapa petugas kaunter dengan hormat dan lembut. Berseri dan bersih wajah petugas tu, Waalaikumsalam, adik…akak ni nak update buku akaun, nak daftar haji untuk anak2 dan nak daftar haji untuk akak dan suami.

Dia mengambil semua buku yang aku letakkan di atas meja di hadapannya. Ada 6 kesemuanya. Nina dan Balqis aku dah daftarkan haji pada tahun 2009. Giliran mereka ialah pada tahun 2025.

Petugas itu membuat pendaftaran untuk Aiman -4 tahun dan Aisyah -13 tahun. Giliran kedua-dua mereka akan tiba pada tahun 2031 nanti. Aku mencongak. Tahun 2031 umur Aiman (21 + 4 = 25 tahun), tengah gagah perkasa insyallah. Aisyah pula berumur (21 + 13 = 34 tahun) , masih gagah tidaklah seperti aku dah 40han baru berpeluang untuk pergi. Namun, alhamdulillah semua berjalan lancar.

Sedang aku mengelamun….puan baru pergi tahun lepas kan? Si petugas menyoal. Aku menjawab dengan jujur…’ya’. Tabung Haji HQ baru arahkan mulai 1 Mac 2010; jemaah tahun 2009 kena tunggu lepas 5 tahun baru boleh mendaftar semula. Aku terkejut..ha? lepas 5 tahun? Kalau mendaftar tahun ini, lagi 21 tahun baru dapat pergi, kalau daftar lagi 5 tahun … umur berapa baru naik giliran????

Tanpa memperdulikan rungutanm aku, si petugas terus bertanya…ni..suami pun sama? Pergi dengan puan tahun 2009? Ya; aku menjawab….dengan nada kecewa. Kalau lagi 5 tahun baru daftar; tahunberapa giliran saya…sempat ke saya pergi Iagi. Sipetuga menjawab: bukan kita control, computer yang control. Aku ingin memprotes tetapi si Petugas segera memaklumkan ramai lagi yang nak pergi tak dapat…kita bagi peluang orang lain pulak.

Tapi takpa saya cuba dulu…mungkin sekadar ingin mengambil hati dan kesian melihat muka sememeh aku… apa-apa pun dia buat aku sedikit lega. Dia bertanyakan nama datuk aku untuk membuat pengesahan kot…aku menjawab ..Tahir; puan asal dari mana? Aku awab dengan pantas..Perak!..ha..lepas… nasib puan baik sebab system masih benarkan nama puan didaftarkan…suami pun dapat juga didaftarkan…alhamdulillah..kalau umur panjang dalam masa 21 tahun lagi aku akan menunaikan fardu haji sekali lagi bersama abang, Aiman dan Aisyah. Amin.

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Lagi Produk Khusus Untuk Wanita

Posted by go4halal on 17/02/2010

Satu lagi produk yang mesti kena cuba. Amalkan dengan radix sahara insyallah akan sihat lebih lama. Semuga wanita semua cuba demi kesihatan yang berkekalan. Kalau boleh biarlah kita sahaja melawat orang sakit janganlah sampai ada orang melawat kita yang terlantar sakit…uhu..uhu…sedihnya.

Bukankah mencegak lebih baik dari mengubati???

Selalau mencuba…bagi saya testimoni ya.

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

BELI PENAPIS AIR..SOKONG/TAK SOKONG

Posted by go4halal on 11/02/2010

Salam,

Tuan/Puan warga blok Angsa boleh tinggalkan komen/Undi anda berkaitan tajuk diatas disini. Masuklah apa-apa komen ikhlas anda. Saya nak buat poll pun tak sempat jadi kita guna je ruangan ni untuk mengutarakan atau menselatankan pendapat anda…be free and happy semasa memberi pendapat.

Klik “leave a comment” tu dan tulislah apa saja…paling kurang pun..tulislah saya setuju/tidak setuju.

Terima kasih.

Posted in Uncategorized | 2 Comments »

Ayat Penghalau Syaitan

Posted by go4halal on 29/01/2010

Daripada hadith yang diriwayatkan oleh Baihaqi, seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Dajanah berkata, “aku telah mengadu kepada Rasulullah SAW dengan berkata”, Wahai Rasulullah, sedang aku berbaring, tiba-tiba aku mendengar desiran suara seperti bunyi kisaran gandum dan berdengung seperti suara lebah. Dan aku terlihat pancaran seperti pancaran kilat. Lalu aku mengangkat kepala kerana terkejut dan takut. Tiba-tiba aku nampak bayangan hitam berdiri tegak memanjang memenuhi ruangan rumahku. Lalu aku mendekati bayangan itu, aku terasa kulitnya seperti bulu landak. Bayang itu menyemburkan cahaya seperti semburan bunga api ke arah mukaku sehingga aku menyangka badan dan rumahku terbakar.”

Lalu Rasulullah SAW menerangkan, “Itu adalah syaitan yang mahu mengganggu dan membuat keburukan di rumahmu, wahai abu Dajanah.”

Kemudian Rasulullah SAW menyuruh Ali bin Abi Talib menulis tulisan ini. Maka Saidina Ali pun menulisnya seperti berikut:

Maksudnya;

“Inilah perutusan dari Muhammad Rasul sekian alam. Kepada mereka yang datang mengerjakan umrah dan berziarah. Amma ba’du. Sesungguhnya kebenaran itu adalah perlindungan bagi kita. Jika engkau terlalu baik, jahat, pemimpin yang sebenar ataupun yang bathil. Inilah kitab Allah yang membicarakan dengan sebenar-benarnya kepada kita, sesungguhnya Kami mencatatkan apa yang kamu lakukan dan malaikat kami menulis segala apa yang engkau sembunyikan. Tinggalkanlah pembawa utusan ini dan pergilah kepada penyembah berhala dan mereka yang menyangka bahawa ada tuhan lain selain Allah. Katakanlah tiada tuhan melainkan Dia. Segala sesuatu akan hancur melainkan Dia. Baginyalah segala ketentuan dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. Haa Miiim, mereka tidak akan diberi pertolongan, Haa Miim, Ain Siiin Qaaf. Berpecah belahlah musuh-musuh Allah, Hujah Allah itu amat jelas, Tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah. Allah akan memberikan kecukupan kepadamu, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Maha benarlah Allah Yang Maha Besar.”

Aku membawa tulisan tersebut balik ke rumah dan aku letakkan di kepala dan tidur. Tidak lama kemudian, aku mendengar jeritan dan tangisan berkata, “Wahai Abu Dajanah, engkau telah membakar kami dengan perkataan/tulisan tersebut.” Demi kebenaran sahabat Mu, tolonglah buangkan tulisan tersebut. Aku berjanji tidak akan datang mengganggumu lagi. Abu Dajanah menjawab, “Aku tidak akan membuangkannya sehingga Rasulullah menyuruh aku membuangnya.”

Abu Dajanah menyambung ceritanya, sepanjang malam tersebut aku mendengar jeritan dan suara mengerang kesakitan sehinggalah menjelang subuh. Ketika aku sembahyang subuh bersama Rasulullah, aku pun menceritakan kepada baginda hal tersebut. Demi Allah yang telah mengutusku sebagai Rasul, sesungguhnya mereka (syaitan-syaitan) itu telah merasakan kesakitan dan akan menerima azab siksa hingga ke hari kiamat.

Semuga dapat membantu mereka yang bermasalah.

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

SIMPTOM AWAL GANGGUAN JIN

Posted by go4halal on 22/01/2010

Saya biasa mendengar tentang ‘gangguan’ tapi tidak sangka saya pun terkena gangguan. Saya sukar tidur malam. Kalau tidur pun, sekejap dan terjaga..bila terjaga sukar tidur semula. Pantang dengar ubat insomnia…rasa semuanya sesuai dengan saya dan kalau boleh saya nak cuba. Dalam HPA roselle adalah antara herba untuk insomnia. Sebelum tidur kalau ingat saya akan mengambik 5 biji roselle..tetapi saya selalu terlupa makan herba ni….bila dah terbaring di tingkat atas baru teringat kan roselle. Nak turun semula ke bawah..malas .

Kesahnya suatu malam, Aiman (3++ tahun) bangun dari katilnya dan merangkah memanjat ke katil saya. Jarak antara katil kami ialah 2 kaki.

Apa yang saya nampak ialah lembaga hitam sebesar budak berkaki 4 sedang memanjat ke katil saya… Saya sangat terkejut dan ketakutan, saya menjerit sekuat hati sambil menolak lembaga itu. 2 kali saya menjerit (mungkin jiran pun terjaga) sambil menolak-nolak aiman yang kelihatan seperti hitam legam. Dia hampir terjatuh…dan menangis…sedih kerana menyangka saya marahkan dia.

Suami terjaga dan cepat menegur tingkah laku saya. Dia pegang saya dan bagitau itu Aiman, jangan tolak dia… saya jadi tersedar dan cepat-cepat mengambil dan memeluk Aiman yang menangis.

Nasib saya baik sebab sepejabat dengan saya ada seorang anak murid Ustaz Harun Din yang juga perawat. Saya bercerita dengan dia minta di doakan. Masa dia pegang kepala saya, dia rasa panas….dia tanya saya ” sakit kepala atau pening???… “saya kata ..tak”.

Dia terus doakan … dan saya memang yakin penuh 100% pada ayat-ayat al-quran….tambah-tambah lagi bila menonton TV OASIS, SABTU 6.30 petang. Saya berdoa didalam hati… “Ya Allah sembuhkan semua penyakit aku”.

Alhamdulillah, malam itu saya rasa tidur yang sangat puas. Rupa-rupanya kepala yang panas menunjukkan saya sedang diganggu. Di satu forum saya terbaca inilah di antara kita sedang diganggu oleh ‘mereka’.

Saya jumpa info ni di sebuah forum dan eluk anda cek jika anda ada simptom yang serupa …. usahakan sesuatu.

SIMPTOM AWAL GANGGUAN JIN

1) Sakit kepala selepas waktu asar keatas.

2) Badan terasa berat dan malas.

3) Sukar mendapat jodoh.

4) Badan terasa bisa-bisa.

5) Sakit ketika ziarah orang meninggal.

6) Sukar tidur malam.

7) Sakit pinggang tanpa sebab.

8) Sakit dada bila waktu asar keatas.

9) Mimpi melihat binatang seperti ular dan sebagainya.

10) Bermimpi bayi atau menyusukan bayi.

11) Bermimpi di tempat tinggi.

12) Bermimpi di tempat yang kotor.

13) Sakit anggota badan tertentu seperti kaki selepas waktu asar.

14) Ada terasa benda bergerak dibawah kulit.

15) Bayi kerap menangis.

16) Bunyi guli jatuh diatas syiling.

17) Suami isteri kerap bertengkar walau perkara kecil.

18) Sayang melampau-lampau pada orang yang baru dikenali.

19) Malas beribadat.

20) Nyanyuk ketika usia lanjut.

21) Panas baran.

22) Sikap berubah secara mendadak.

23) Gelisah dan panas ditengkuk bila dengar al-quran.

24) Suka melakukan tabiat buruk.

25) Kerap sendawa bila mendengar al-quran.

26) Kerap keguguran.

27) Gagal melakukan hubungan kelamin.

28) Mengantuk bila dengar al-quran.

29) Bermimpi seram yang menakutkan.

30) Darah haid turun lebih 15 hari.

31) Batuk yang berpanjangan.

32) Selalu ditindih ketika tidur.

33) Kuat berangan.

34) Terlalu rasa rendah diri dan tidak berkeyakinan.

35) Nafsu seksual yang melampau.

36) Selalu melihat kelibat dirumah.

37) Terasa diri selalu diperhatikan.

38) Mandul.

39) Kerap mendengar sesuatu bisikan.

40) Melihat jin secara terus.

41) Sakit mental atau gila.

Posted in Uncategorized | 1 Comment »

Patutkah Anda Terus Merokok?

Posted by go4halal on 15/01/2010

Dari Hukum Syarak…merokok  adalah HARAM di sisi agama ISLAM (Fatwa 1995). Dari segi kesihatan …perokok bukan sahaja merosakkan organnya sendiri malah orang disekitarnya, dari segi ekonomi….perokok menderma kepada Yahudi yang menggunakan sumbangan itu untuk mengganyang Islam (terutama di Palestin). 

 Jadi atas alasan apa anda terus merokok????

JOM kita baca apa kata Prof. Dzulkifli Abdul Razak; Pusat Racun Negara, USM.

SEJAK kebelakangan ini, banyak perkara baru yang timbul yang mengaitkan secara langsung kedudukan syarikat-syarikat tembakau khususnya di Amerika Syarikat dalam mengendalikan perniagaan mereka.

Malah pada lewat bulan Mac yang lalu, salah sebuah daripada syarikat tersebut, Liggett Group Incorporated, telah membuat pengakuan tentang beberapa hal apabila ia bersetuju untuk menyerahkan di antara lain dokumen-dokumen syarikat untuk diteliti oleh peguam-peguam anti-merokok.

Dokumen-dokumen ini adalah penting sekali kerana ianya dianggap sulit dan dirahsiakan oleh syarikat tersebut buat hampir 30 tahun lamanya.

Namun demikian, isi kandungannya masih berguna kepada pihak yang ingin tahu tentang muslihat perniagaan rokok di dunia antarabangsa.

Pengakuan yang dibuat oleh syarikat Liggett sekali gus membuktikan bahawa dunia perniagaan rokok secara amnya telah menyorokkan beberapa fakta kesihatan yang penting untuk pengetahuan umum, khususnya perokok.

Dengan adanya pengakuan seumpama ini, satu perspektif baru dapat dibentuk dalam usaha kita untuk membasmi tabiat merokok di kalangan masyarakat amnya dan remaja kita khasnya.

Berikut adalah di anatara pengakuan yang dapat dipetik daripada dokumen-dokumen yang diserahkan oleh syarikat Liggett kepada pihak-pihak yang berkuasa di Amerika Syarikat.

Muslihat 1: Nikotin dalam tembakau adalah sejenis dadah:

Buat beberapa lama, perkara ini telah disyaki dan turut dibuktikan secara saintifik yang bahan nikotin terkandung di dalam tembakau terdiri daripada sejenis dadah yang boleh menyebabkan ketagihan.

Walaupun demikian, hakikat ini tidak langsung mendapat pengiktirafan daripada syarikat rokok yang terus mempertahankan bahawa nikotin itu tidak mendatangkan ketagihan.

Malah syarikat-syarikat rokok tersekongkol dalam menafikan perkara ini baik kepada pihak Kongres Amerika Syarikat sekalipun.

Kini jelas terbukti daripada dokumen-dokumen syarikat tersebut bahawa ia telah pun mengenal pasti bahawa nikotin itu sebenarnya dadah yang boleh mendatangkan ketagihan.

Tetapi ini dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Dengan kata lain, syarikat-syarikat rokok telah memperdayakan orang ramai dalam hal yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Lantas kini, ramai warganegara Amerika Syarikat termasuk lebih daripada 25 kerajaan negeri Amerika Syarikat kini sedang dalam proses untuk menyaman syarikat-syarikat tersebut.

Muslihat 2: Rokok mengandungi racun makhluk perosak:

Satu lagi perkara yang jelas mengenai dokumen berkenaan adalah daripada segi aspek keselamatan bahan-bahan tembakau yang pernah digunakan. Ini terbukti daripada pengakuan yang menunjukkan bahawa tembakau rokok ada dicemari dengan bahan makhluk perosak seperti DDT, Malathion, Aldrin, Chemphechlor di antara lainnya.

Dokumen dari syarikat Liggett juga mengakui bahawa bahan ini adalah “amat berbahaya”. Selaras dengan tindakan yang diambil oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat untuk mengharamkan jenis-jenis racun makhluk perosak yang sama.

Sekali lagi fakta ini tidak dinyatakan secara terperinci kepada orang ramai khususnya pengguna bahan tembakau, demi menjaga keselamatan dan kesihatan mereka. Malah tembakau yang mengandungi bahan-bahan tersebut terus dijual kepada masyarakat umum.

Muslihat 3: Tembakau mendatangkan berbagai penyakit:

Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa tembakau melalui tabiat merokok boleh mendatangkan berbagai kemudaratan kesihatan seperti sakit jantung, kanser, lelah dan sebagainya.

Lagi sekali perkara ini sememangnya diketahui oleh syarikat tembakau melalui penyelidikan yang mereka lakukan. Dokuken-dokumen berkaitan dengan hal ini juga telah diperolehi melalui pengakuan syarikat Liggett.

Namun begitu, syarikat-syarikat tembakau sentiasa mempertahankan barangan dagangan mereka seolah-olah kemudaratan kesihatan yang berkaitan dengannya adalah satu perkara yang kecil.

Lantas tidak ada mana-mana syarikat rokok yang secara sukarela menyatakan gejala-gejala buruk merokok baik secara umum apa lagi secara terperinci selagi tidak dipaksa oleh perundangan. Oleh itu keadaannya lebih buruk apabila tidak wujud undang-undang kawalan tembakau yang ketat.

Bukti-bukti tentang penyakit akibat merokok itu telah mengalakkan ramai perokok menyaman syarikat-syarikat tembakau.

Dijangkakan dalam masa 2 tahun ini, lebih banyak kes akan dibicarakan berbanding dengan 40 tahun yang lalu. Ini menunjukkan bahawa para pengguna umumnya dan para perokok amnya rasa tertipu dengan dakyah yang disebarkan melalui iklan-iklan rokok di merata tempat.

Muslihat 4: Remaja menjadi sasaran pemasaran rokok:

Dengan bertambahnya pasaran rokok khasnya di negara membangun, lebih ramai para remaja kini terlibat dengan tabiat merokok. Walaupun selama ini disyaki beberapa strategi telah digunakan untuk menarik langganan remaja, hal ini terus terbukti melalui catatan-catatan yang terdapat dalam dokumen-dokumen syarikat tembakau.

Salah satu daripada dokumen tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa ada rancangan yang digubal oleh syarikat rokok untuk disasarkan kepada remaja berumur 16 tahun.

Syarikat rokok mengakui bahawa pada peringkat umur seperti ini, mereka lebih mudah dipengaruhi dengan berbagai daya tarikan yang mendorong mereka merokok.

Syarikat-syarikat rokok juga faham bahawa tabiat yang dipupuk pada peringkat remaja akan berpanjangan sehingga umur mereka lebih lanjut.

Tambahan pula nikotin dalam rokok akan menentukan bahawa mereka apabila mula merokok akan terus bergantung dengannya. Ini sekali gus menjamin pasaran rokok yang bukan sahaja stabil tetapi terus berkembang dari semasa ke semasa.

Oleh yang demikian, tidak syak lagi yang kalangan remaja dijadikan mangsa dan bilangan ini terus meningkat tahun demi tahun.

Muslihat 5: Promosi merokok berasaskan perkauman:

Ini merupakan satu lagi aspek yang amat memeranjatkan yang selama ini tidak diketahui umum.

Dokumen-dokumen yang diperolehi juga menunjukkan bahawa syarikat-syarikat rokok mempunyai strategi-strategi tertentu untuk memasarkan rokok.

Mereka dengan bukan sahaja peringkat umur, aspek jantina, tetapi juga disalurkan secara halus khasnya kepada kaum-kaum tertentu seperti orang-orang keturunan Afrika, Hispanik (Selanyol) mahupun keturunan Yahudi yang terdapat di Amerika Syarikat.

Ini adalah dengan tujuan mendapatkan pasaran yang lebih menyeluruh di kalangan semua kaum. Dalam hal ini, dapat dirumuskan bahawa syarikat tembakau pada amnya tidak menghiraukan sama sekali kedudukan sesuatu bangsa itu asalkan sahaja pasaran rokok dapat dilariskan.

Saya ambil dari http://www.hpa.com.my/

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

JOM nak cerita Pejabat Baru Aku ….

Posted by go4halal on 10/01/2010

Aku mula ditugaskan di pejabat baru ini pada bulan September 2009 iaitu pada bulan Ramadhan 1430H. Aku sangat teruja apabila setiap pagi ada bacaan dan terjemaahan ayat suci al-quran oleh pegawai disini yang mana dibaca secara bergilir-gilir setiap pagi… sejuk hati mendengarnya. Cuma… sayang ianya tidak diteruskan selepas Ramadhan.

Cantiknya .. doa pagi dibaca secara bergilir-gilir oleh semua warga lelaki muslim. Selepas bacaan doa ada pula sedikit tazkirah. Kalau nak harapkan aku baca tazkirah sendiri pagi-pagi…memanglah takda.. alasannya tak sempat…sebenarnya malas sebab hati telah dikuasi oleh nafsu dan musuh utama (syaitan) . Tetapi bila orang bacakan …boleh juga pasang telinga sambil bancuh kopi radix/ makan nasi lemak/ membaca emel.

Setiap hari rabu pula ada kelas tajwid. Dah lama aku berhenti belajar tajwid ni, ada juga berangan nak sambung semula…tapi dah masuk 3 tahun berhenti…masih bertangguh untuk sambung semula…mujur juga di pejabat baru ni diadakan kelas tajwid dewasa dapatlah aku joint…alhamdulillah lagi sekali. Kelas yang sekarang seminggu sekali ini; akan diusahakan menjadi dua kali seminggu…aku doakan agar perancangan ini menjadi kenyataan. Kalau tanya aku…tiap2 hari buat kelas tajwid pun takpa…

Setiap hari Jumaat ada pula flyer dakwah dan sirah dengan tajuk menarik yang memberi pengajaran dan iktibar singgah di atas meja. Walaupun ada yang mengabaikan flyer tersebut tetapi bagi aku ianya akan ku baca… tambahan sekarang aku jadi pengedar flyer tersebut. Pagi Jumaat (8 Jan 2010) berpeluh aku berjalan dari satu blok ke satu blok, naik turun tangga….nasib ada yang sudi membantu. Terima kasih banyak pada kawan-kawan yang menghulurkan bantuan untuk tolong mengedarkannya…maklum usia dah banyak…suruh berjalan lelebih…lutut terasa longgar dan urat saraf terasa kejang, nafas pula terasa pendek pendek nak kena penyakit semput pula kot…  .

Bacaan Yasin dan tahlil pula diadakan 2 minggu sekali. Yasin yang pertama bagi tahun Hijrah 1431 dan 2010 telah diadakan pada pagi Jumaat yang indah (8 Jan 2010) Lebih seronoknya dan bermakna bila… pihak pengurusan tertinggi bukan sahaja memberi lampu hijau untuk aktiviti sebegini tetapi juga turut serta bersama kami menjayakannya. Lepas baca Yasin kami makan nasi briyani bersila atas tikar .

Makanan pula di taja oleh seorang pegawai (yang sanggup ambil cuti untuk masak sendiri lagi tu..memang sedap…. terima kasih banyak.. ). Penaja bukan setakat taja nasi briyani tetapi juga Air Mineral HPA yang dibacakan Yasin…sedapnya air mineral HPA, bila minum pasti teringat pada air zam-zam… Ada yang dapat lebih sebotol pulak tu, termasuklah aku (dapat 2 botol …jangan marah!..nanti merah! )

Semuga semuanya dapat diteruskan sampai bila-bila. AMIN!

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Misteri kopi RM20

Posted by go4halal on 08/01/2010

Siapa belum baca cerita ni? Dalam dunia ni banyak perkara yang sukar nak percaya tetapi itulah yang terjadi. Syarikat besar tak mungkin tipu????? tak mungkin letak benda bukan-bukan dalam produk mereka sebab … takkan mereka nak rugi. Siapa yang merancang nak rugi?… Kalau syarikat kecil nak melipat gandakan keuntungan , apatah lagi syarikat besar yang hutangnya pun juga besar … ada ke orang kaya nak jatuh miskin???? Pada pandangan saya orang kaya lagilah nak kaya raya … lagilah nak lipat gandakan untung….

Sukar untuk saya percaya cerita akhbar ni, ada orang sanggup minum kopi berharga RM20 secawan???? begitu jugalah sukarnya saya nak percaya ada katak dalam sardine dan ada cacing dalam MILO. Sukar saya nak percaya syarikat besar dan terkenal, Pasaraya besar yang ramai pengunjung Melayu (Islam) sanggup jual ayam cucuk, ayam bercampur babi dll… tetapi itulah yang kita baca dan seperti biasa …. nak percaya ke tidak ni? betul ke tidak ni?

Wallahualam…

KUALA LUMPUR: Secawan kopi susu biasanya dijual RM1.20 saja, namun kini timbul tanda tanya apabila muncul sejenis kopi istimewa mencecah RM20 secawan sehingga menimbulkan persoalan mengenai ramuan misterinya.

KUALA LUMPUR: Secawan kopi susu biasanya dijual RM1.20 saja, namun kini timbul tanda tanya apabila muncul sejenis kopi istimewa mencecah RM20 secawan sehingga menimbulkan persoalan mengenai ramuan misterinya.

Persoalan itu terjawab apabila produk kopi yang diuar-uarkan mampu mengembalikan kejantanan suami di ranjang disahkan mengandungi racun berbahaya sildenafil yang dipercayai menjadi ramuan sulit syarikat pengeluar dan pengedarnya bagi melariskan jualan.

Bahan kimia terlarang itu yang boleh menyebabkan mati mengejut sering dicampur pembekal haram dalam serbuk kopi selepas didapati berupaya meningkatkan keinginan seksual lelaki walaupun pada masa sama mengundang 1,001 kesan sampingan berbahaya.

Penjualan ‘kopi batin’ terbabit terbongkar selepas sepasukan 10 pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu sebuah syarikat berpejabat di Jalan Gombak di sini yang dikesan menjadi pengedar utama kopi maut terbabit.

Serbuan jam 11.15 pagi semalam oleh pegawai penguat kuasa farmasi KKM diketuai Timbalan Pengarahnya, Wan Hamid Wan Ibrahim dilakukan di pejabat syarikat pengedar serbuk kopi berkenaan selepas menerima maklumat mengenai aktiviti penjualan kopi beracun berkenaan.

Wan Hamid berkata, pihaknya terlebih dahulu mendapatkan sampel produk kopi terbabit sebelum menghantarnya menjalani ujian makmal dan disahkan mengandungi bahan kimia beracun itu.

“Hasil serbuan mengejut itu, kami merampas hampir 3,000 peket kopi berkenaan yang dianggarkan bernilai RM30,000. Siasatan mendapati kopi berkenaan dijual mencecah RM200 bagi setiap kotak berisi 10 peket.

“Lebih mengecewakan apabila berlaku penipuan terhadap pengguna apabila produk kopi terbabit didakwa pengedarnya selamat kerana dihasilkan melalui ekstrak tongkat ali, herba dan madu tanpa menyebut kandungan kimia berbahaya itu,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian makmal mendapati kopi terbabit mengandungi kimia yang sudah diubah suai dipanggil homosildenafil yang dipercayai diseludup.

“Berikutan itu, pegawai KKM mengambil keterangan seorang kakitangan syarikat terbabit berusia 20-an selain seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai pemilik syarikat terbabit.

“Penemuan produk kopi yang dicampurkan kimia berbahaya itu membuktikan masih banyak syarikat kopi campuran tidak serik dan masih cuba membahayakan nyawa orang ramai demi memperoleh keuntungan,” katanya.

Menurutnya, kopi mengandungi kimia sildenafil itu di pasaran mudah dikenal pasti berikutan pengedar biasanya menjual dengan harga mahal.

Difahamkan, sildenafil yang turut terkandung dalam pil Viagra amat berbahaya terutama kepada mereka yang menghidapi darah tinggi, sakit jantung dan kandungan lemak tinggi dalam badan serta boleh menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah.

Dari : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Misteri-kopi-RM20/Article

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

 
WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.

Scoliosis Survival

Yang Mempesonakan Pada Seseorang Itu Bukanlah Kesempurnaannya Tetapi Caranya Menghadapi Ketidaksempurnaan Itu.

Blog Peribadirasulullah

Membina Generasi Yang Cintakan Allah SWT Dan Rasulullah SAW

PILIHLAH YANG HALALAN TOYYIBAN DALAM KEHIDUPAN

HALAL BUKAN PADA MAKANAN SAHAJA...TETAPI SEMUA ASPEK KEHIDUPAN.